Hutan
bakau adalah istilah umum yang digunakan untuk menghuraikan pelbagai
komuniti tumbuhan yang hidup di tepi laut kawasan tropika dan subtropika
antara latitud 32o Utara dan 38o Selatan. Hutan
ini hanya terbentuk di pantai yang terlindung daripada tindakan ombak
kuat. Di kawasan yang berombak kuat, biji benih tidak boleh bertapak
dan mengeluarkan akar dengan baik. Pada kebiasaannya, pembentukan hutan
bakau yang luas boleh ditemui di kawasan muara.
Jika
dibandingkan dengan terumbu batu karang, hutan bakau wujud di kawasan
geografi yang lebih luas. Hutan ini wujud di 112 negara di seluruh
dunia. Taburan bakau boleh dibahagikan kepada dua zon utama iaitu zon
timur (Afrika timur, Asia Selatan dan Pasifik termasuk Australia) dan zon barat (Afrika barat, Amerika dan Caribbean)
Di
seluruh dunia, luas hutan bakau dianggarkan lebih kurang 15 juta
hektar. Daripada keluasan ini, 6.9 juta hektar berada di kawasan
Indo-Pasifik, 3.5 juta hektar di Afrika dan 4.1 juta hektar di Amerika
Utara termasuk Caribbean.
Di
kawasan Indo-Pasifik, hutan bakau yang meluas boleh ditemui di sistem
delta sungai utama seperti sungai Ganges-Brahmaputra, Irrawady, Mekong
dan juga di kawasan tepi laut yang terlindung oleh tanah besar seperti
di Madagascar, Selat Melaka, Kalimantan, Kepulauan Indonesia dan Papua
New Guinea.
Mengikut
satu anggaran, 60 – 70% pinggir laut negara-negara tropika dibarisi
oleh hutan bakau. Hutan bakau yang terbesar yang masih belum terganggu
adalah di Bangladesh. Di negara ini keluasan hutan ini dianggarkan lebih kurang 400,000 hektar.
Di
kawasan tropika, hutan hujan adalah hutan yang paling kaya dengan
spesies di dunia. Sebanyak 225 spesies pokok per hektar telah
dilaporkan untuk ekosistem ini. Hutan bakau pula adalah ekosistem hutan
yang paling kurang spesies. Ada
kalanya hutan bakau terdiri daripada satu spesies sahaja. Kekurangan
spesies ini disebabkan persekitaran hutan bakau mewujudkan satu keadaan
yang tersangat susah untuk tumbuhan hidup dan membiak. Ini termasuklah
keadaan tanah yang sentiasa terendam, substrat yang berkeadaan anoksik
dan saliniti yang tinggi. Saliniti merupakan rintangan yang utama
untuk spesies meneroka kawasan hutan bakau. Untuk hidup di saliniti
tinggi tumbuhan perlu ada metabolisme yang tersangat khusus dan
mekanisme untuk membuang garam atau mekanisme untuk mengurangkan kesan
garam ini terhadap sel hidup. Secara sejagat, hanya terdapat 34 spesies
yang benar-benar mempunyai adaptasi ini manakala 20 spesies mempunyai
adaptasi untuk hidup di saliniti tertentu.
Dari
segi ekologi, hutan bakau memainkan peranan yang penting. Persekitaran
ini merupakan satu ekosistem yang sangat produktif. Penghasilan yang
besar ini seterusnya menyokong rantai makanan hidupan yang pelbagai yang
terdiri daripada ikan, krustasea, burung, mamalia kecil dan
invertebrat. Tenaga dan bahan organik yang terbentuk di kawasan hutan
bakau turut dieksport ke komuniti berdekatan Hutan bakau juga
berperanan sebagai kawasan pembiakan untuk sesetengah organisma. Di
samping itu, kehadiran hutan bakau di tepi laut turut melindungi
kawasan-kawasan pinggir laut daripada ombak dan arus yang besar.
Di
dunia, terdapat lebih kurang 80 spesies pokok bakau. Namun sekitar 60
spesies yang utama dalam pembentukan hutan bakau. Dianggarkan 2/3
daripada keseluruhan spesies bakau boleh ditemui di Asia Tenggara dan
Micronesia manakala di Afrika dan Amerika Utara terdapat 15 dan 10
spesies bakau masing-masing. Genus-genus bakau yang dominan termasuklah
genus Rhizophora, Avicennia, Bruguiera, Laguncularia , Conocarpus, Ceriops dan Sonneratia
Kewujudan
hutan bakau dipengaruhi oleh beberapa faktor persekitaran seperti aras
laut, suhu air, saliniti, arus, ribut, kecerunan pantai dan substrat
dasaran. Kebanyakan bakau hidup di dasaran berselut. Namun terdapat
juga bakau yang hidup di dasaran pasir, gambut atau batu karang.
Semua tumbuhan bakau adalah tumbuhan halofit
iaitu tumbuhan yang mempunyai kebolehan untuk hidup di tanah yang
kandungan garamnya tinggi. Namun, setiap spesies memperlihatkan
pendekatan yang berbeza untuk menyelesaikan masalah saliniti dan tanah
yang bergenang. Untuk menyelesaikan masalah imbangan osmosis, daun Avicennia mempunyai kelenjar garam yang merembeskan garam berlebihan. Untuk Rhizophora pula, garam dirembeskan keluar dengan mengekalkan tekanan hidrostatik negatif
dalam xilem. Tekanan ini diwujudkan oleh tekanan osmosis yang cukup
tinggi di daun. Selain daripada itu, kebanyakan tumbuhan bakau
mempunyai daun yang liat dan sukulen. Daun-daun ini mempunyai tisu
dalaman untuk menyimpan air.
Proses pengudaraan di kawasan air bergenang dilakukan dengan dua cara. Avicennia menghasilkan pneumatofor, iaitu unjuran pendek yang muncul di permukaan tanah.
Dengan akar ini, udara boleh masuk ke bahagian bawah tanah. Untuk Rhizophora pula, tumbuhan ini menghasilkan akar sokong di sekeliling batang pokok utama. Akar-akar sokong ini mempunyai lubang udara ataupun yang dikenali sebagai lentisel.
Melalui lubang-lubang ini, oksigen menyerap masuk ke dalam tumbuhan dan
seterusnya disalurkan ke akar bawah tanah melalui tisu ruang udara di
korteks yang dikenali sebagai aerenkima. Lentisel-lentisel ini tidak aktif semasa air laut pasang.
Sesetengah bakau seperti Bruguiera dan Rhizophora memperlihatkan cara percambahan dan penyebaran biji yang aneh yang dikenali sebagai vivipari.
Semasa masih berada di tumbuhan induk lagi, biji telah bercambah dan
mula membesar menjadi anak benih. Pada masa ini, anak benih mula
memanjang dan mendapat makanan dari pokok induk. Semasa peringkat ini
juga, anak benih mengumpul karbohidrat dan sebatian lain yang diperlukan
untuk pertumbuhan selanjutnya.
Akibat
daripada pertumbuhan yang berbeza, bahagian hujung anak benih menjadi
lebih berat. Akhirnya, anak benih ini akan gugur ke air. Disebabkan
taburan berat yang berbeza, anak benih ini akan terapung tegak di dalam
air. Anak benih ini kemudiannya dibawa oleh arus ke kawasan cetek dan
seterusnya bersentuhan dengan bahagian dasaran. Di kawasan cetek ini,
anak benih mula mengeluarkan akar dan membesar.
Satu lagi adaptasi istimewa yang ditunjukkan oleh beberapa spesies bakau ialah penyebaran propagul. Propagul yang tergantung di dahan-dahan akan jatuh ke tanah dan akhirnya akan tumbuh berhampiran dengan tumbuhan induk. Ada
juga propagul yang dibawa oleh arus ke tempat yang jauh. Bergantung
pada spesies, propagul ini boleh hidup lama. Vivipari dan propagul yang
mempunyai hayat panjang merupakan satu strategi yang cukup berkesan
untuk tumbuhan bakau menyebarkan spesiesnya.
Bakau berkembang baik di kawasan kepekatan garam antara 20o/oo dan 35o/oo.
Kepekatan garam yang terlalu tinggi akan membantutkan pertumbuhan pokok
bakau dan mengurangkan bilangan spesies yang boleh hidup di sesuatu
kawasan. Di kawasan yang kepekatan garamnya terlalu rendah, tiada pokok
bakau boleh ditemui.
Spesies
bakau yang terawal dipercayai berasal dari kawasan Indo-Malaya
memandangkan terdapat lebih banyak spesies bakau di kawasan ini jika
dibandingkan dengan kawasan lain.
Disebabkan
oleh kewujudan biji benih dan propagul yang unik, spesies bakau terawal
ini disebarkan oleh arus laut ke barat dan sampai ke India
dan Afrika Timur. Spesies ini juga disebarkan ke timur dan sampai ke
Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Proses penyebaran itu dianggarkan
berlaku 60 juta tahun dahulu.
Dalam
masa yang sama, beberapa spesies bakau telah berjaya disebarkan secara
meluas di Laut Caribbean dan kemudiannya ke Afrika Barat dan New Zealand.
Cara penyebaran ini dapat menerangkan mengapa Afrika Barat dan Amerika
mempunyai bilangan spesies bakau yang lebih kecil jika dibandingkan
dengan bilangan spesies yang terdapat di Asia, India dan Afrika Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan