Pengenalan
Pada masa kini manusia masih lagi terkejar-kejar kemewahan yang berlandaskan teknologi dan
kecanggihan cara hidup. Tetapi harga yang perlu dibayar untuk mencapai
semua itu adalah sangat tinggi. Pelbagai khazanah bumi terpaksa di
korbankan untuk memenuhi kehendah dan nafsu manusia masa kini. Kealpaan
manusia telah mengakibatkan angka
flora dan fauna yang hamper pupus semakin meningkat angkanya. Kepupusan
flora dan fauna telah berada pada zon berbahaya dan ia perlu diambil
serius selagi kita mempunyai masa. Blog ini akan membincangkan tentang
punca-punca kepupusan flora dan fauna, kesan-kesan kepupusan dan
langkah-langkah yang dianggap sesuai untuk mengatasi masalah ini.
Kebanyakan contoh-contoh yang diselitkan melibatkan Negara kita sendiri
iaitu Negara Malaysia.
Definisi
Menurut kamus bahasa melayu edisi kedua (1996), flora membawa maksud `tumbuhan-tumbuhan yang terdapat pada satu-satu daerah atau pada suatu masa’, manakala fauna pula bermaksud
`seluruh binatang yang hidup di suatu tempat’. Kepupusan pula menurut
kamus bahasa melayu bemaksud `habis lenyap’. Kepupusan flora dan fauna
boleh di definisikan sebagai kebinasaan atau kelenyapan tumbuhan dan
haiwan semulajadi dari muka bumi.
Punca-Punca Kepupusan Flora Dan Fauna
Terdapat pelbagai punca yang boleh menyumbang kepda kepupusan flora dan fauna sama ada secara langsung atau
secara tidak langsung. Diantara punca-puncanya adalah pembalakan haram
yang merupakan salah satu punca utama kepupusan flora dan fauna.
Pembalak-pembalak haram giat menjalankan pembalakan secara terbuka di
kawasan yang tidak sepatutnya ditebang dan menyebabkan tumbuhan renek
mengalami kepupusan.
Pembakaran
hutan juga dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dilakukan
secara terbuka. Hal ini akan menyebabkan habitat kehilangan tempat
tinggal. Perkembangan arus permodenan menyebabkan banyak pembangunan
berlaku di atas bumi. Untuk memenuhi permintaan yang semakin tinggi,
banyak kawasan baru yang diterokai untuk membina penempatan baru,
dijadikan kawasan pertanian dan perindustrian
Selain itu, aktiviti menangkap ikan merupakan salah satu punca rezeki bagi nelayan-nelayan di persisiran pantai. Tangkapan menggunakan jala, pancing, bubu dan cara tradisional yang lain menjejaskan habitat dan bilangan hidupan akuatik di perairan dan menggugat segala hidupan di dasar laut seperti terumbu karang dan sebagainya.
Suhu
dunia juga semakin meningkat dari hari ke hari yang menunjukkan bahawa
lapisan ozon semakin menipis. Tidak semua flora dan fauna mampu
bertahan dengan suhu yang panas membahang. Apabila hutan mengalami
kepanasan yang melampau iaitu mengalami kepanasan global, haiwan-haiwan
juga turut merasainya.
Kesan-Kesan Kepupusan Flora Dan Fauna
1. Kitaran kehidupan akan terjejas
- Apabila haiwan-haiwan dan tumbuhan mengalami kepupusan yang serius, ia turut menjejaskan kitaran kehidupan. Contohnya, haiwan yang diburu boleh menyebabkan kepupusan. Apabila tiada lagi harimau untuk mengawal populasi rusa dan kijang. Haiwan-haiwan ini terus membiak dan mampu merosakkan kawasan rumput di sekitarnya.
2. Hakisan tanah dan tanah runtuh
- Akibat dari pembakaran yang tidak terkawal dan pembukaan
tanah baru mendorong tanah runtuh berlaku. Akar-akar pokok secara tidak
langsung mencengkam tanah daripada
runtuh. Akar-akar ini akan memastikan tanah sentiasa berada dalam kedudukan semulajadi. Tetapi apabila hutan dan pokok-pokok digondol, tiada lagi akar-akar yang mencengkam tanah. Apabila tiada lagi sokongan pada tanah, tanah tidak lagi mampu untuk menampung segala benda di atasnya. Hasilnya, hakisan tanah atau tanah runtuh berlaku. Dahulu negara di gemparkan dengan tragedi tanah runtuh di Genting Highlands dan Highlands tower. Jika diperhatikan kawasan sekelilingnya tidak banyak pokok dan ini menyebabkan hakisan tanah sekaligus tanah runtuh pun berlaku.
3. Mencacatkan pemandangan alam
- Apabila flora dan fauna yang sebelum ini menyerikan alam semulajadi mengalami kepupusan, yang terbentang di depan mata hanyalah kawasan gersang dan gondol seperti gurun. Malaysia yang kaya dengan pelbagai jenis spesis tumbuhan dan haiwan serta hutan hujan tropika bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. Sudah tentu keadaan ini mencacatkan pemandangan alam semulajadi
Langkah-Langkah Mengatasi
Terdapat pelbagai langkah-langkah yang patut di ambil bagi mengatasi masalah kepupusan flora dan fauna di Malaysia. Antaranya ialah mewujudkan sistem pengurusan hutan yang boleh menjamin dan melindungi flora dan fauna seperti menjalankan penanaman semula contohnya menanam semula pokok kayu balak yang telah ditebang bagi menggantikannya. Selain itu, dengan menghadkan kapasiti hutan untuk mengelakkan tumbuhan dan pokok-pokok ditebang.
Kerajaan juga perlu memainkan peranan utama dalam memperketatkan undang-undang tentang pembalakan dan pemburuan haram. Pihak berkuasa perlu sentiasa peka dengan setiap pergerakan yang dilakukan oleh pembalak dan pemburu haram kerana kewujudan mereka bakal menghancurkan flora dan fauna. Dengan mengiktiraf lebih banyak kawasan hutan sebagai Taman Negara, taman rekreasi, taman laut dan sebagainya dengan keluasan mencukupi, habitat flora dan fauna boleh terpelihara.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum
melakukan sesuatu perkara. Dalam hal membangunkan Negara menerusi
perindustrian, alam semulajadi tidak boleh dilupakan. Jika khazanah
bumi ini tidak dijaga dengan sebaik-baiknya tidak ada lagi yang tinggal
untuk generasi yang akan datang. Dunia ini adalah pinjaman manusia tidak
berhak untuk merampas atau meragut kekayaan dunia dengan
sewenang-wenangnya segala pekara yang ingin dilakukan perlu melalui
pelbagai fasa untuk mengelakkan sebarang ancaman terhadap alam
semulajadi. Kepupusan flora dan fauna mampu menjadi mimpi ngeri buat
kita semua jika tiada sikap ambil peduli dengan anugerah Tuhan ini.
Posted by : Nurul Hidayah Binti Md Ami (207396)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan